BAB jika menggunakan alatan TMK sebagai medium untuk proses

BAB 2

 

 

TINJAUAN LITERATUR

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

 

 

 

 

2.1 
Pengenalan

 

 

Bab ini
membincangkan tentang beberapa sub tajuk yang berkaitan dengan kajian ini.
Tinjauan literatur ataupun sorotan kajian amat penting dalam melaksanakan
sesuatu kajian supaya dapat menimba ilmu yang mendalam. Menurut pendapat Chua
(2016), kajian literatur adalah suatu pembuatan terhadap rujukan kritikal dan
sistematik ke atas dokumen-dokumen yang mengandungi maklumat, idea, data dan
kaedah memperoleh maklumat yang berkaitan dengan tajuk kajian yang
dilaksanakan. Penyelidik telah membuat rujukan daripada pelbagai sumber yang
mengandungi maklumat dan data berkaitan kajian ini.

 

 

 

2.2 
Teknologi Maklumat dan Komunikasi

 

Teknologi Maklumat
Dan Komunikasi (TMK) sedang berkembang dengan pesat serata dunia dalam semua
bidang.  Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, Teknologi Maklumat Dan Komunikasi ialah teknologi yang berkaitan dengan
pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui
penggunaan teknologi komputer dan tele-komunikasi. Seterusnya, laudon dan
laudon (1997) turut menyatakan TMK merangkumi komponen-komponen yang bersepadu
yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi untuk membuat
keputusan, merancang, mengawal dan menganalis. Manakala, Senn (1998) menyatakan
bahawa TMK melibatkan tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu
menggunakannya. Seeorang manusia atau sesebuah organisasi berpeluang untuk menjadi
lebih produktif, berkesan dan berjaya jika menggabungkan ketiga-tiga komponan
yang dikatakan tadi.

 

TMK
merangkumi pelbagai teknologi yang disepadukan untuk memperoleh, menyimpan dan
menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk seperti teks, suara, imej, grafik,
animasi dan sebagainya menggunakan alat-alat elektronik (Aliza,2004). Ini
bersamaan dengan pendapat Abdul Razak, Yazrina, Mohd Shanudin & Mohd Zambri
(2000) yang menyatakan bahawa TMK merangkumi apa jua alatan elektronik yang
membenarkan pengguna menyimpan, menghubung, memproses, mencipta dan
menyampaikan maklumat.

2.2.1       
Kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

 

TMK adalah suatu
bentuk digital yang menyimpan dan menyebarkan maklumat dengan menggunakan
pelbagai alatan elektronik supaya lebih produktif, berkesan dan berjaya dalam
semua bidang. TMK dibina berdasarkan tiga prinsip utama iaitu pengetahuan dan
kemahiran menggunakan komputer, keupayaan memahami kandungan media serta
kemampuan menggunakan teknologi digital. Hal ini menjadi lebih menarik dan
memainkan peranan penting dalam menjadikan objektif sesuatu matapelajaran dapat
dicapai dengan lebih cepat dan efisien jika menggunakan alatan TMK sebagai
medium untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

 

TMK
mempunyai potensi untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang boleh menyokong
proses pengajaran dan pembelajaran mendalam dan penciptaan pengetahuan. Hal ini
dapat disokong melalui pernyataan Bransford (1999) iaitu teknologi berupaya
mencetuskan ciri-ciri pembelajaran secara autentik. Antara ciri-cirinya adalah
penggunaan TMK berupaya menyediakan perencah serta bahan untuk meningkatkan
kemahiran pembelajaran, memberikan peluang murid dan guru untuk maklum balas
melalui pencartaan data yang sahih dan memperluaskan peluang-peluang untuk guru
mempertingkatkan mutu pengajaran melalui maklum balas murid. Habermas (1970)
pula menyatakan bahawa TMK dapat mewujudkan potensi bagi murid untuk
berkomunikasi dan berkongsi bahan melalui perbincangan yang teratur dan di
bawah bimbingan seseorang guru.

Butler
(1993) mengatakan bahawa TMK sebagai sebuah alat konstruktif yang memudahkan proses
pengajaran dan pembelajaran murid secara autentik dan inklusif. Kerajaan telah
menitikberatkan kepentingan TMK dalam Pendidikan melalui pembelajaran maya di
bawah 1Bestarinet yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada
masa kini, pembelajaran maya telah memainkan peranan yang penting dan menjadi
bahan pengajaran dan pembelajaran yang penting. Melalui 1Bestarinet setiap guru
dan murid dibekalkan dengan nama pengguna dan kata laluan masing-masing supaya
mereka dapat belajar mengikut cara pembelajaran tersendiri. Melalui Kajian yang
dilaksankan oleh Norazilawatiet al, (2013) mendapati bahawa guru telah mengakui
terdapat banyak kebaikan penggunaan pembelajaran maya dalam proses pengajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah dan mampu meningkatkan
motivasi guru untuk mengajar dan juga murid untuk belajar.

 

Dapatan
ini selari dengan dapatan kajian Mohamad Azmi (2013) yang mendapati guru dapat
mengikuti latihan berkaitan penggunaan Frog VLE. Melalui pembelajaran maya ini
guru-guru mendapat motivasi dan inspirasi bagi meneruskan kaedah pengajaran
baru dan membantu memberi kemahiran kepada murid-murid dengan berkesan dalam teknologi
dan pembelajaran. Kemahiran yang diperoleh oleh guru dan murid ini banyak
membantu pelaksanaan pembelajaran menggunakan aplikasi selari dengan kehendak
transformasi dalam pendidikan.

 

Kajian
Dinyati (2011) menyatakan bahawa penggunaan TMK dalam pengajaran dan
pembelajaran dalam kalangan guru Pendidikan Islam telah meningkatkan tahap keminatan
mereka, sokongan pentadbir dan juga keyakinan terhadap diri sendiri dan juga
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hannafin (1999) dalam kajiannya
menyatakan bahawa kekurangan persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang
berbantukan komputer yang boleh memberi impak pembelajaran menjadikan
pengajaran guru kurang berkesan. Kajian Ambigapathy dan Suthagar (2003)
membuktikan bahawa persepsi dan sikap guru sememangnya positif terhadap
penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan. 76.67% guru bersetuju bahawa
TMK merupakan alat bantu mengajar yang efektif.

 

Kajian
Nor Fadila Mohd Amin dan Chiew Kai Wan (2010) menyatakan bahawa para guru mempunyai
persepsi yang positif terhadap penggunaan perisian Kemahiran Hidup dalam
pengajaran yang melibatkan kemahiran asas TMK. Ia turut disokong oleh kajian
Noor Adzhar Zain (2000) yang menyatakan keyakinan guru-guru yang mengajar
matapelajaran Kemahiran Hidup dalam menggunakan komputer sebagai bahan bantu
mengajar menunjukkan sikap positif. Beliau membuktikannya dengan maklum balas
guru yang bersetuju sebanyak 77.6%.

 

Hasil
kajian Saad Al Kahtani (1999) membuktikan penggunaan komputer dalam pengajaran
menulis karangan memberi kesan positif terhadap pencapaian pelajar. Menurut
kajian Hasliza Hashim, Siti Munira Mohd Nasri dan Zarina Mustafa (2016),
kemahiran TMK dalam kalangan guru menjadi penghalang kepada pelaksanaan Frog
VLE di sekolah. Beliau mendapati masih terdapat ramai guru kurang
mengintegrasikan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, para guru
masih belum mahir dalam mengakses portal, menyediakan bahan pengajaran dan
memproses maklumat melalui laman web dan tidak mempunyai kemahiran untuk mengendali
dan memanipulasi alatan.

 

Kajian
Norazila (2008) mendapati latar belakang guru, sikap dan keprihatinan guru
menjadi faktor yang mempengaruhi guru dalam penggunaan teknologi dalam
pengajaran. Kajian Siti Fatimah Ahmad & Ab.Halim Tamuri (2010) menunjukkan
sebanyak 60.7% guru   j-QAF sangat bersetuju bahawa penggunaan
multimedia sebagai BBM dapat menghasilkan pembelajaran pelajar dengan lebih
berkesan berbanding pengajaran secara tradisional. Menurut kajian lankshear
& Knobel (2003) dan Marsh (2004) menyatakan bahawa kemudahan TMK dan
komputer memberi kesan yang baik sekiranya mempunyai kemahiran dan kecekapan
menggunakan teknologi tersebut. Kajian Abdul Rahman (2000) juga menyatakan
kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan TMK menjadi faktor guru kurang
menggunakan teknologi di dalam kelas. Sementara kajian Haji Ahmad (2008) juga
mendapati sikap menggunakan kemudahan dan kemahiran TMK guru mempunyai
perkaitan yang positif.

 

Yahya
Othman dan Roselan Baki (2007), menjalankan sebuah kajian mengenai aplikasi
komputer dalam pengajaran bahasa yang melibatkan 87 guru BM di sekitar daerah
Hulu Langat, Selangor. Kajian tersebut membuktikan bahawa tahap penggunaan
komputer dalam pengajaran adalah rendah iaitu min 2.67. Selain itu, kajian ini
juga membuktikan kebanyakkan guru mempunyai minat yang sederhana (min 3.14)
untuk menjalankan kelas menggunakan komputer. Menurut kajian Chung, Hui Ching,
Melvina dan Jamaludin Badusah (2010), guru-guru yang tidak pernah menghadiri
kursus TMK mempunyai sikap yang negatif dan sederhana dalam menggunakan TMK
semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

 

Dapatan
hasil kajian Sidin dan Mohamad (2007) membuktikan mempunyai perbezaan yang
signifikan terhadap pencapaian pelajar mengikut pendekatan konstruktivisme
melalui pembudayaan TMK. Hasil kajian juga membuktikan hasil kerja pelajar yang
diajar menggunakan pendekatan konstruktivisme melalui pembudayaan TMK adalah
lebih baik dari sudut reka bentuk, susun atur, pilihan warna dan fungsinya
berbanding pelajar lain. Ia disokong dengan kajian Andin (2006) yang
menunjukkan kumpulan rawatan yang menggunakan komputer secara signifikan lebih
baik min skor ujian pasca berbanding kumpulan kawalan. Dari segi gender,
kumpulan rawatan pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan mendapat min skor ujian
pasca yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan pelajar lelaki dan juga
perempuan.

 

Tambahan
pula, kajian Noor Azean Bt Atan dan Beatrice Andrew (2010) menunjukkan tahap
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran oleh guru-guru pelatih Fakulti
pendidikan semasa latihan mengajar adalah tinggi dan menyatakan sumber TMK yang
sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah internet dan
komputer. Hasnuddin Bin Ab Rahman, Norfaizuryana Binti Zainal, Nor Azzarahton
Binti Ab Karim (2015) menjalankan suatu kajian bertajuk keberkesanan penggunaan
TMK di dalam PdP Pendidikan Islam dengan seramai 16 orang guru sebagai sampel
kajian. Kajian tersebut membuktikan TMK dalam pengajaran Pendidikan Islam
meningkatkan keberkesanan pengajaran adalah tinggi dengan skor min sebanyak
4.43. Kajian ini juga menyatakan penggunaan TMK dalam pengajaran dapat
memotivasikan murid di dalam pengajaran Pendidikan Islam dengan skor min
sebanyak 4.41.

 

Irfan Naufal Umar dan Mohamad Tarmizi Mohd Yusoff
(2013) menjalankan sebuah kajian dengan menggunakan 2661 orang guru sebagai
sampel kajian untuk mengaji tahap kemahiran guru dalam TMK dan impaknya
terhadap pengajaran dan pembelajaran. Kajian tersebut membuktikan guru-guru
mempunyai kemahiran asas TMK yang tinggi dengan skor min sebanyak 3.13.
Manakala, para guru mendapat skor min sebanyak 2.31(sederhana) dalam kemahiran
TMK tahap yang lebih tinggi.

 

2.2.2       
Implikasi Tehadap Kajian

 

Daripada
kajian yang dijalankan didapati TMK telah memainkan peranan yang penting dalam
meningkatkan pencapaian para murid dalam matapelajaran tertentu. Selain
daripada itu penggunaan TMK juga dapat memberi peluang kepada para guru supaya
dapat meningkatkan kemahiran yang ada pada diri sendiri sebelum ini. Mereka
juga dapat merancang proses pengajaran yang lebih baik dan sistematik dengan
menggunakan TMK dan ia dapat membantu mereka untuk mencapai objektif pelajaran.
Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian Sandra Rahman et al. (2013) yang
menyatakan bahawa guru-guru bersetuju 93% terhadap penggunaan komputer dapat
membantu murid memahami pelajaran dan menarik minat murid untuk belajar. Selain
itu, 78% para guru bersetuju bahawa penggunaan komputer sememangnya
menyenangkan urusan pengajaran.

 

2.3 
Penilaian

 

Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran aspek penilaian menjadi aspek yang paling penting
dan juga harus dititikberatkan. Ia bukannya semata-mata dijalankan melalui
ujian dan peperiksaan sahaja, malah ia boleh dilaksanakan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran juga. Kemajuan dan potensi seseorang murid dapat
dikumpul melalui maklumat yang diperoleh daripada penilaian tertentu. Gay
(1985) berpendapat bahawa penilaian ialah suatu proses sistematik semasa mengumpul
dan menganalisis data bagi memastikan atau menentukan sama ada objektif yang
telah ditatpkan itu tercapai ataupun tidak. Hal ini dapat membantu guru untuk
membuat pertimbangan yang tepat berhubung dengan proses pengajaran dan
pembelajaran dijalankan oleh mereka.

           

            Sistem Pendidikan di negara kita
mempunyai matlamat yang spesifik iaitu memenuhi keperluan masyarakat dan Negara
ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani,
Intelek dan Sosia (JERIS), berketerampilan, berakhlak mulia serta berilmu. Menurut
Mak Soon Sang (1988) mengikut matlamat tersebut sistem pendidikan menetapkan
satu standard yang dapat diguna pakai dan diaplikasikan dengan jayanya dalam
sistem pendidikan negara (Mak Soon Sang:1988). Selain itu, penilaian juga
menjadi ‘kayu ukur’ bagi meyukat keberkesanan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dalam melahirkan murid yang seimbang dalam segenap aspek yang
diinginkan. Kecemerlangan sistem penilaian dan peperiksaan akan dapat
meletakkan negara pada arus yang betul untuk merealisasikan objektif
Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan lahirnya generasi yang berwibawa dan
seimbang dalam semua aspek kehidupan. Ujian juga menjadi satu prosedur yang
sistematik untuk memerhati tingkah lagu seseorang indidvidu Cronbach (1970).

 

2.3.1       
Definisi penilaian

 

Penilaian adalah
suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan pelbagai cara. Penilaian boleh
diklasifikasikan sebagai pertimbangan profesional atau sebagai satu proses yang
memberi peluang kepada seseorang individu untuk membuat pertimbangan tentang
kebaikan atau menilai sesuatu. Penilaian juga boleh dijelaskan sebagai satu
proses sistematik yang dapat digunakan untuk mengumpul, menganalisis dan
menginterpretasi maklumat bagi menentukan sejauh manakah seseorang murid mencapai
objektif yang ditentukan oleh guru matapelajaran.

 

            Penilaian adalah suatu proses yang
dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat
pertimbangan serta keputusan pada akhir setiap proses pengajaran dan
pembelajaran (Terry D. TenBrink, 1974:8). Menurut Kamus Dewan (1994:930),
penilaian merupakan perbuatan atau perihal, menilai dan menaksir. Ia disokong
dengan pendapat Abu Bakar Nordin (1990:4), iaitu penilaian boleh dianggap
sebagai suatu proses yang berterusan yang membantu kita untuk mendapatkan
malumat semula dengan tujuan supaya penggubahan kepada murid dalam aspek
pemikiran, perasaan dan tingkahlaku dapat dilakukan dengan sempurna.

 

Proses
penilaian membabitkan banyak perkara seperti ujian, peperiksaan, pengukuran
yang dilaksanakan atas tujuan untuk melihat kemampuan seseorang murid menguasai
apa yang diajar oleh guru dan juga apa yang dipelajari di dalam kelas. Menurut
pandangan Phopham (1975) mengatakan penilaian yang sistematik haruslah
mempunyai satu tafsiran yang formal tentang isu dan nilai fenomena pendidikan.  Proses penilaian ini amat penting bagi
mengetahui kelebihan dan kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
selain memastikan para murid tidak tergelincir daripada sukatan mata pelajaran
yang telah ditetapkan oleh Kemeterian Pendidikan Malaysia.

 

Penilai
telah memainkan peranan untuk memperolehi maklumat secara bersistem untuk
membuat keputusan tentang tindakan susulan yang perlu diambil guru mengikut
jawapan murid. Menurut Gay (1985) penilaian yang dilakukan di sekolah adalah
satu usaha berstruktur bagi mengkaji penguasaan, perubahan, prestasi,
pencapaian para murid dalam penilaian yang diadakan bagi mengatasi masalah yang
timbul sebelum murid menduduki peperiksaan sebenar kelak seperti Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

 

2.3.2 Konsep Penilaian

 

Penilaian adalah
satu proses yang penting dan harus dilaksanakan dalam setiap proses pengajaran
dan pembelajaran. Maklumat kuantitatif boleh diperoleh daripada proses penilaian.
Maklumat tersebut akan membantu para guru untuk membuat pertimbangan atas
seseorang murid dalam kelas dan juga menentukan perubahan tingkah laku terhadap
mereka. Tambahan pula, proses penilaian juga membrerikan maklumat tentang
pencapaian objektif sesuatu pelajaran, kaedah pengajaran seseorang guru dan
keberkesanan sesebuah kurikulum dengan jitu dan tepat.

           

            Penilaian juga merujuk kepada proses
mentafsir yang bercorak kualitatif berasakan hasil daripada penilaian yang
dilakukan secara kuantitatif. Misalnya, istilah penilaian seperti cemerlang,
baik, lemah adalah diberikan secara kualitatif kepada seseorang murid
berasaskan pengukuran yang diperoleh daripada sesuatu ujian yang dinilai secara
kuantitatif.  Hal ini dapat membuktikan
bahawa penilaian boleh dilakukan berbentu kualitatif dan juga kuantitatif
dengan menggunakan maklumat atau data yang diperoleh daripadanya. Dari segi
kuantitatif, maklumat yang diperoleh akan dinyatakan dalam bentuk angka dan ia akan
diringkaskan dan digambarkan supaya mudah difahami. Manakala, kualitatif pula
tidak berbentuk angka dan gred yang tepat tetapi ia menerangkan perubahan
tingkah laku yang boleh dilihat secara nyata.